Saya....

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia

Monday 30 July 2012

RAWATAN TERAPI LARVA




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

فَقَالُوْا: "يَا رَسُوْلَ اللهِ! هَلْ عَلَيْنَا جُنَاحٌ أَنْ لاَ نَتَدَاوَى؟" قَالَ: "تَدَاوَوْا، عِبَادَ اللهِ! فَإِنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً. إِلاَّ الْهَرَمَ".
 رواه ابن ماجه

Maksudnya:
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)

Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).

Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ
Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.

Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.

Muzakarah juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit. Sebagai panduan melaksanakan ibadah, pesakit boleh merujuk kepada Panduan Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

No comments:

Post a Comment

TERBANG JALAN JALAN